FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan : Seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, selepas dipercayai menyalahgunakan kedudukan melantik syarikat milik anak saudaranya untuk mendapatkan tender kantin sebuah sekolah.

Suspek lelaki berumur dalam lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah Cawangan Sandakan, kira-kira pukul 11 pagi, ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tender kantin sekolah bernilai kira-kira RM50,000.

Tender untuk tempoh tiga tahun itu diberikan kepada syarikat milik anak saudaranya sekitar Disember 2015 sehingga November 2018 lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 6:06 PM