GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Dua lelaki berusia 37 tahun dan 41 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berkaitan kes pecah amanah dan salahguna kuasa membabitkan nilai kontrak kira-kira RM63,000.

Sumber berkata, kesalahan dipercayai membabitkan sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Sandakan yang dilakukan pada 2018 dan 2019.

Menurutnya, bekas penjawat awam berusia 37 tahun itu dipercayai menggunakan kedudukannya untuk melantik kontraktor terbabit sebagai pembekal produk berasaskan lebah, haiwan ternakan dan program lain yang mana syarikat itu dimiliki oleh saudaranya.

Sumber berkata, bekas penjawat awam dan kontraktor terbabit ditahan semasa hadir di pejabat SPRM Sandakan pagi tadi untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu dibebaskan atas jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada 21 April 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 8:19 PM