GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki memalsukan dua dokumen bagi mendapatkan kontrak pengendalian kantin.

Menurut sumber, suspek wanita, 20-an pemilik syarikat dan lelaki, 40-an, bekerja sendiri.

"Kedua suspek disyaki terbabit kes memalsukan dua dokumen bagi mendapatkan kontrak pengendalian kantin sekolah kebangsaan di Sandakan bagi tempoh antara tahun 2020 hingga 2021.

"Suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Sandakan kira-kira jam 9.40 pagi ini selepas hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan.

"Hasil daripada pemalsuan dokumen tersebut, kedua-dua suspek memperoleh tender kantin sekolah membabitkan nilai kontrak kira-kira RM30,000," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 dan 109 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 6:24 PM