GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Penolong pegawai sebuah jabatan kerajaan di Sabah ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi melantik syarikat milik saudaranya dalam perkhidmatan pembekalan makanan bernilai hampir RM43,000.

Lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.

Sumber kata, suspek didakwa melantik syarikat milik saudaranya untuk membekal makanan bagi program anjuran jabatannya di sini.

"Program berkenaan sekitar Mac hingga October 2019 membabitkan nilai hampir RM43,000," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, dalam tempoh terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 4:37 PM