ORANG ramai yang hadir untuk membayar cukai taksiran pada Kempen Bayaran Cukai Taksiran di Jalan SD12/1 Sri Damansara, Petaling Jaya, hari ini.  FOTO Ihsan MBPJ
ORANG ramai yang hadir untuk membayar cukai taksiran pada Kempen Bayaran Cukai Taksiran di Jalan SD12/1 Sri Damansara, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Ihsan MBPJ
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil inisiatif mengadakan kempen bayaran cukai taksiran di kawasan PJU 9, Sri Damansara, di sini, bagi memudahkan penduduk untuk menjelaskan bayaran serta tunggakan cukai berkenaan.

Pengarah Jabatan Perbendaharaan MBPJ Nik Nazli Nik Abdullah berkata, kempen dua hari bermula hari ini hingga esok jam 9.30 pagi hingga 2 petang .

"Dalam program ini, kami turut menawarkan khidmat nasihat serta rundingan mengenai kaedah pembayaran tunggakan cukai taksiran selain menawarkan kaedah bayaran secara ansuran bagi tunggakan sehingga 10 bulan.

"Selain kaunter aduan, kami juga ada menyediakan kaunter untuk orang ramai membuat pertukaran nama serta alamat surat menyurat pemilik harta," katanya ketika ditemui di lokasi program berkenaan di Jalan SD12/1 Sri Damansara, di sini, hari ini.

Nik Nazli berkata, jumlah keseluruhan tunggakan cukai taksiran di kawasan Sri Damansara adalah lebih RM3.2 juta membabitkan 5,870 pegangan.

"Daripada jumlah itu, RM95,908 adalah tunggakan bagi kediaman kos rendah, manakala baki lebih RM3.1 juta adalah tunggakan bagi pegangan selain kos rendah.

"Berdasarkan pemerhatian sehingga jam 12 tengah hari tadi, kami mendapati kebanyakan penduduk yang hadir membayar cukai pada program ini adalah individu yang tinggal di kawasan sederhana dan mewah.

"Kami menjangkakan untuk mengutip RM150,000 bayaran cukai taksiran di kawasan ini sepanjang tempoh berkenaan yang sudah merekodkan lebih RM67,000 bayaran menerusi 187 pembayar cukai sehingga jam 12 tengah hari tadi," katanya.

Seorang pembayar cukai yang hadir, Vibin Melon, 48, berkata, program berkenaan membantu beliau untuk membayar dan menyemak bayaran cukai taksiran untuk rumahnya di Sri Damansara dengan cepat.

"Pada kebiasaannya, saya membayar cukai secara dalam talian. Kebetulan ketika berada di kawasan ini, saya datang untuk membuat semakan dan bayaran.

"Hanya dalam tempoh tidak sampai lima minit, urusan semakan dan pembayaran sudah selesai. Malah, saya juga diberikan cenderahati oleh pihak MBPJ," katanya yang tidak mempunyai sebarang tunggakan cukai taksiran.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 1 G Suriase berkata, penduduk di kawasan sekitar perlu mengambil peluang dengan hadir ke program ini untuk menjelaskan tunggakan cukai taksiran.

"Penganjuran program sebegini adalah bagus untuk memudahkan penduduk membuat bayaran serta semakan selain menggunakan kiosk bayaran di Pasar PJ Kita@Sri Damansara.

"Dengan ada pelbagai kaedah pembayaran untuk menjelaskan tunggakan cukai taksiran, saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang membayar cukai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 12:53 PM