Nazdy Harun


Kuala Berang: "Saya hanya memekakkan telinga dengan cemuhan dan pernah digelar 'askar gila' oleh kerana minat mengumpul tunggul kayu sebelum mengolahnya menjadi perabot," kata Darushllam Darusa, 50, dari Kampung Tapu, di sini.

Menurutnya, dia mula mengumpul tunggul kayu yang dicarinya di sekitar hutan, kawasan berpaya dan kebun yang melalui proses tanam semula di daerah ini sejak 20 tahun lalu.

Katanya, untuk mendapatkan tunggul kayu ada kalanya dia terpaksa bermalam di kawasan tunggul berkenaan untuk melakukan kerja menggali sebelum tunggul berkenaan dapat dibawa pulang.

"Biasanya proses untuk membawa keluar tunggul kayu yang besar mengambil masa hingga seminggu kerana pelbagai kerja perlu dilakukan.

"Selepas menggali, tunggul kayu berkenaan akan diangkat ke lori menggunakan jengkaut yang disewa sebelum di bawa pulang," katanya yang juga bekas anggota tentera.

DARUSHLLAM sedang melakukan kerja untuk menyiapkan sebuah meja yang diperbuat daripada tunggul kayu. FOTO Nazdy Harun
DARUSHLLAM sedang melakukan kerja untuk menyiapkan sebuah meja yang diperbuat daripada tunggul kayu. FOTO Nazdy Harun

Darushllam berkata, sekali lihat ia adalah tunggul yang tidak mendatangkan faedah namun selepas diolah terutama menjadi sesebuah perabot harganya boleh mencecah ribuan ringgit.

Menurutnya, tunggul kayu dari spesies cengal, tembesu dan merbau menjadi pilihannya kerana ketahanan kayu berkenaan.

Katanya, dia tidak terlalu agresif menjual arcanya itu namun yang mengenali dan mengetahui hasil kerjanya akan datang untuk melihat sebelum membeli hasil kerja tangan yang dilakukannya.

"Ini adalah kerja seni maka tiada tempahan, contohnya tunggul ini pelanggan hendak jadikan meja atau kerusi kerana tunggul ini bukan papan siap yang boleh dicantumkan untuk dijadikan perabot yang dihajatkan.

"Saya sendiri yang putus hukum (buat keputusan) sama ada tunggul ini akan dijadikan kerusi, meja dan sebagainya, kerana tanpa idea tunggul berkenaan amat sukar untuk diolah hingga menjadi seperti apa yang saya hajati," katanya.

Katanya, permintaan tetap ada namun dia menggunakan konsep siap baru nampak fungsi tunggul itu kerana pemilihan tunggul yang sesuai akan diolah menjadi perabot sama ada kerusi, meja dan rak hiasan.

"Cemuhan 'askar gila sudah mendarat di kampung ini' berikutan banyak tunggul kayu yang dikumpul tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya.

"Malah selepas 20 tahun tiada lagi suara-suara sumbangan mencemuh selepas mereka melihat hasil yang saya usahakan membuahkan hasil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 11:03 AM