Nazdy Harun

Marang: Dengan bermodal RM500 membolehkan seorang lelaki meraih pendapatan bulanan yang lumayan hasil tempahan dan jualan produk berupa aksesori rumah berasaskan kayu.

Muhammad Bazli Rais Sapri, 24, dari Kampung Jambu Bongkok, dekat sini, berkata pelbagai hasil kerja kayu dilakukannya seperti meja, kerusi, penyangkut anak kunci, kotak tisu dan peti surat sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, produk yang dihasilkan dijual pada harga serendah RM10 sehingga RM3,500 dan dua jenis kayu iaitu cengal dan tembesu menjadi pilihannya untuk berkarya.

"Antara yang mendapat sambutan adalah peti surat, penyangkut anak kunci dan tunjuk langit (aksesori yang dipasang pada bucu atap rumah).

"Peti surat saya jual pada harga RM500 seunit dan hasil kerja tangan itu agak laris dan saya mampu menyiapkan kira-kira 10 unit peti surat dalam tempoh 20 hari.

"Uniknya peti surat ini, saya adaptasi daripada seni bina rumah tradisional Terengganu, dan untuk menyiapkannya juga satu cabaran," katanya.

Muhammad Bazli Rais Sapri, 24, menunjukkan peti surat kayu yang dihasilkannya. FOTO NAZDY HARUN
Muhammad Bazli Rais Sapri, 24, menunjukkan peti surat kayu yang dihasilkannya. FOTO NAZDY HARUN

Menurutnya, hasil kerja tangannya dipasarkan melalui media sosial dan produk yang kecil kebiasaannya akan dipos kepada pelanggan, manakala penempah akan datang mengambilnya jika barangan berkenaan bersaiz besar.

Menceritakan pengalamannya memulakan perusahaan kerja kayu itu, Muhammad Bazli berkata, dia bermula dengan membeli seunit mesin kerja dengan menggunakan wang simpanan sebanyak RM500.

Menurutnya, hasil keuntungan yang diperolehi kemudian digunakan untuk membeli pelbagai jenis mesin untuk kegunaan seharian dan sehingga kini mempunyai 11 unit mesin bernilai RM280 hingga RM3,800 seunit.

"Penyangkut anak kunci saya jual pada harga serendah RM10 manakala meja yang dihasilkan menggunakan teknik epoxy dijual dengan harga RM3,500.

"Selain membuat kerja-kerja kayu lain seperti ukiran, saya turut fokus kepada pembuatan peti surat kayu yang dilihat mampu menjana pendapatan.

"Bidang pembuatan aksesori rumah berasaskan kayu dilihat mempunyai potensi cerah memandangkan permintaan sentiasa ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 5:24 PM