AZIZUL menyiapkan perabot tempahan pelanggan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
AZIZUL menyiapkan perabot tempahan pelanggan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Muhammad Mustakim Ramli

Kangar: Bermula sekadar hobi membuat perkakas rumah yang dipelajari melalui YouTube, seorang guru agama kini menjadi ‘buruan’ ramai yang mahukan hasil kerja tangannya itu.

Azizul Yaakub, 37, menghasilkan lebih 1,000 unit perkakasan rumah yang terdiri daripada lebih 10 jenis barangan seperti rak kasut, meja makan, kerusi, katil, almari dan bar mini.

Katanya, idea asal menghasil perkakasan rumah menggunakan kayu palet bermula dua tahun lalu selepas melihat seorang pemilik restoran menghasilkan kerusi dan meja makan dengan kayu berkenaan.

“Saya lihat dengan teliti cara penghasilannya, bersembang bagaimana penghasilan sebelum mencari serta mempelajari melalui laman YouTube cara menghasilkan perabot melalui kayu palet.

“Produk pertama saya rak kasut tanpa pintu. Selepas dua minggu iaitu sekitar November 2015 saya mula menjual barangan dengan produk pertama yang dijual adalah rak kasut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jejawi di sini.

Lelaki berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, laman sosial Facebook medium yang digunakannya untuk memasarkan produk.

AZIZUL memilih kayu palet yang dibeli dari kilang sekitar Perlis sebelum digunakan untuk menghasilkan perabot di rumahnya. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
AZIZUL memilih kayu palet yang dibeli dari kilang sekitar Perlis sebelum digunakan untuk menghasilkan perabot di rumahnya. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

“Saya tiada Facebook khas untuk menjual perabot palet ini. Saya mengiklankan terus di kumpulan tertentu di Facebook dan ia mendapat maklum balas yang memberangsangkan.

“Dalam sebulan hanya 10 ke 15 unit perkakasan yang boleh dihasilkan kerana saya terikat dengan komitmen sebagai seorang guru hingga ada ketika saya terpaksa menolak.

“Hanya pada musim cuti sekolah saja saya dapat menghasil lebih 30 barangan dengan kerja pertukangan bermula dari pagi hingga ke malam,” katanya.

Bapa kepada empat anak berusia lima hingga 14 tahun ini mengakui turut berhadapan situasi mencemaskan ketika menjalankan kerja pertukangan apabila jari kirinya putus akibat terkena mesin gergaji meja.

“Kejadian berlaku pada bulan puasa tahun lalu sekitar jam 2 petang jari telunjuk saya putus di bahagian kuku. Alhamdulillah ia boleh disambung semula kerana saya segera ke hospital.

“Hampir dua bulan juga saya tidak bertukang. Hanya pada minggu lepas saya mula bertukang,” katanya yang tidak serik untuk bertukang.

HASIL kerja Azizul  yang menggunakan kayu palet. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
HASIL kerja Azizul yang menggunakan kayu palet. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Azizul berkata, perancangannya pada masa hadapan untuk menghasilkan perkakasan berasaskan besi dan kayu palet.

“Ada pelanggan yang minta saya hasilkan produk sedemikian cuma kekangan saya pada masa ini adalah peralatan seperti pemotong besi.

“Insya-Allah saya akan cuba pelajari teknik pertukangan besi dan kayu palet selepas mempunyai peralatan yang sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 6:30 AM