GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sindiket penipuan pekerjaan yang menawarkan kerja di luar negara tumpas selepas polis menahan enam individu menerusi Op Pintas Daya, pada 3 Ogos lalu.

Sindiket memperdaya mangsa melalui iklan tawaran kerja dengan gaji lumayan, sebaliknya mangsa dikurung dan dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian atas talian serta penipuan.

Aktiviti sindiket itu bagaimanapun berjaya dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan operasi dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Task Force Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalam serbuan dijalankan seramai enam individu ditahan termasuk dua wanita yang kesemua mereka berusia 33 hingga 45 tahun.

Sejak tahun lalu sehingga 18 Ogos lalu, beliau berkata, polis menerima 182 laporan rakyat Malaysia diperdaya sindiket penipuan kerja di luar negara yang membabitkan 238 mangsa.

Katanya, daripada jumlah itu, 168 orang masih terkandas di luar negara manakala 70 orang berjaya diselamatkan.

"Hasil soal siasat, mangsa mendakwa diperdaya dengan iklan peluang kerjaya sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji lumayan di Facebook.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi Wechat, WhatsApp atau Messenger. Selepas bersetuju, ejen akan menguruskan dan menanggung segala kos perjalanan ke destinasi.

"Sebaik tiba di negara berkenaan, semua dokumen perjalanan mangsa dirampas dan dimusnahkan manakala telefon bimbit dirampas. Mangsa dikurung dan pergerakan dikawal ketat sebelum dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian online, scammer, pelaburan, love scam dan lain-lain penipuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Dalam serbuan itu, menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, komputer riba, modem, router, pemacu pena dan wang tunai.

Noorsiah berkata, PDRM kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negara dan Aseanapol bagi mengesan dan membawa pulang mangsa yang masih terkandas.

"Ahli keluarga atau kenalan mangsa yang mempunyai maklumat berkenaan mangsa dinasihatkan membuat laporan sekiranya masih belum berbuat demikian. Jangan berurusan terus dengan pihak sindiket atau orang tidak dikenali," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara melalui media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

PDRM amat mengalu-alukan kerjasama yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu dan menyalurkannya di balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 5:59 PM