RAKYAT Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket tawaran penipuan perkerjaan  selamat tiba di klia2 pada 12 April 2022. FOTO Hazreen Mohamad
RAKYAT Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket tawaran penipuan perkerjaan selamat tiba di klia2 pada 12 April 2022. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan orang tempatan membantu satu sindiket di Preah Sihanouk, Kemboja yang memperdaya rakyat negara ini untuk bekerja di sana sebelum dipaksa menjadi 'scammer.'

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan 12 rakyat Malaysia yang dibawa ke Kemboja sebelum dipaksa bekerja sebagai 'scammer' di sana turut membabitkan orang tempatan.

"Kemungkinan itu ada dan siasatan lanjut dan tindakan sedang diambil untuk mengesan sindiket ini yang membabitkan orang tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro sebelum ini melaporkan berpuluh belia Malaysia dikesan menjadi tawanan dan 'hamba abdi' sindiket penipuan antarabangsa di luar negara dengan dipaksa bekerja sebagai 'operator penipuan' jarak jauh.

Itu nasib menimpa berpuluh warga Malaysia yang kini didakwa dikurung sindiket penipuan scammer yang beroperasi di beberapa negara Asean.

Sindiket dikatakan berjaya memperdaya anak muda tempatan yang terdesak mencari pekerjaan dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan tidak munasabah.

Bagaimanapun nasib 12 rakyat Malaysia itu menemui sinar apabila berjaya berjaya dibawa pulang dan tiba di tanah air, Selasa lalu manakala empat lagi masih berada di negara itu bagi menjalani kuarantin kerana positif Covid-19.

Kejayaan membawa pulang 12 lelaki adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan sebelum ini dilapor berkata, 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai 'scammer' oleh satu sindiket di Preah Sihanouk, Kemboja selepas terpedaya dengan iklan pekerjaan.

Menurutnya, mereka diperdaya melalui iklan di Facebook malah kos perbelanjaan perjalanan pekerjaan mereka turut ditanggung oleh pihak syarikat di Kemboja dan selepas mangsa tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan ketat.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 12:24 PM