Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Hanya berbaki 15 hari untuk 16 peniaga makanan di astaka Taman Perindustrian Bayan Lepas di sini, mengosongkan gerai masing-masing sebelum diambil alih pemaju.

Namun membimbangkan peniaga terbabit apabila sehingga kini tiada perjanjian dibuat dan pampasan yang dijanjikan masih belum diperoleh.

Peniaga, Mohd Kamal Nordin, 38, berkata, sebelum ini peniaga terbabit berniaga gerai di tepi jalan sebelum ditawarkan unit gerai sementara di astaka terbabit yang disewa daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, pada Julai lalu, mereka dimaklumkan oleh individu yang mendakwa sebagai 'orang tengah', bahawa tapak astaka itu sudah dibeli pemaju dan perlu mengosongkan gerai terbabit sebelum 31 Ogos ini.

"Tempoh yang diberi sudah semakin hampir namun tiada pampasan diberi dan membimbangkan apabila tiada sebarang perjanjian dibuat.

"Kini kami terima maklumat mengenai ada dua peniaga sudah tiada dalam senarai penerima pampasan dan saya bimbang jika pemaju mungkir janji," katanya ketika ditemui di Gelugor di sini, hari ini.

Difahamkan, peniaga terbabit dijanjikan sehingga RM40,000 mengikut keluasan gerai masing-masing dan pampasan itu adalah wang ihsan daripada pemaju bagi membolehkan peniaga berpindah ke lokasi baharu.

Manakala peniaga makanan, G Sugumaran, 47, berkata, dia sudah menutup gerainya dan bersedia bagi berpindah mengikut tempoh yang diberi.

Namun katanya, dia tidak dapat berpindah ke gerai lain kerana tidak mempunyai wang bagi menyewa premis di lokasi baharu.

"Memang kami mahu pindah tetapi jika tidak bayar (pampasan), bagaimana hendak keluar (pindah) kerana ia perlukan kos terutama bagi menyewa gerai baharu," katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Kamal dan Sugumaran ditemui di Pejabat Parlimen Bayan Baru bersama 14 lagi peniaga, bagi membuat aduan kepada Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi Pembantu Khasnya, Chan Boon Aun.

Menurut Boon Aun berkata, susulan aduan itu, pihaknya akan bertemu dengan pemaju dalam masa terdekat.

"Kita mahu selesaikan segera kerana tempoh yang diberi semakin hampir dan pemaju juga perlu mengikut prosedur bersama.

"Didapati tiada komunikasi dua hala antara pemaju dan peniaga menyebabkan kedua-dua pihak tidak mendapat maklumat yang jelas," katanya.

Peniaga astaka Taman Perindustrian Bayan Lepas ketika membuat aduan di Pejabat Parlimen Bayan Baru, Gelugo. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Peniaga astaka Taman Perindustrian Bayan Lepas ketika membuat aduan di Pejabat Parlimen Bayan Baru, Gelugo. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 10:41 AM