KUALA LUMPUR 06 NOVEMBER 2022. Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung ketika melakukan walkabout di kawasan gerai dan peniaga di Pasar Wirawati, Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR 06 NOVEMBER 2022. Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung ketika melakukan walkabout di kawasan gerai dan peniaga di Pasar Wirawati, Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemilik unit Flat Sungai Baru di Kampung Baru di sini akan dibantu mendapatkan khidmat guaman yang baik bagi mengelakkan mereka daripada ditipu dalam projek pembangunan Sungai Baru.

Ini adalah antara perkara yang ingin dilakukan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani jika beliau menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Pada bulan Disember, jika pemaju masih belum menjelaskan pampasan kepada pemilik kediaman di Flat Sungai Baru, saya akan pastikan penghuni yang menjadi mangsa akan diwakili oleh peguam yang hebat untuk memastikan mereka tidak ditipu," katanya.

Beliau berkata demikian pada program bersama penduduk di Kampung Baru di sini hari ini.

Johari berkata, isu pembangunan tanah di Sungai Baru timbul apabila beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat (selepas kalah pada PRU-14) dan pemaju dapat meyakinkan penduduk di kawasan itu kerana tiada siapa yang mewakili mereka.

Katanya, 89 peratus penduduk setuju berpindah serta menandatangani perjanjian secara sukarela dan pemaju sudah menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil rumah baki 11 peratus penduduk di situ.

Beliau berkata, mengikut akta itu, pemaju mempunyai kuasa untuk mengambil rumah atau unit dengan kelulusan pihak mahkamah namun wajib membayar pampasan kepada pemilik secara penuh mengikut nilai semasa premis kediaman mereka.

"Projek pembangunan semula Flat Sungai Baru ini, saya cukup takut pemaju tidak mampu melaksanakannya kerana kalau pemaju sudah memohon akta pengambilan ini, jika lulus (hari ini), esok atau lusa mereka boleh terus bagi duit (pampasan kepada pemilik rumah).

"Pemaju sudah tidak perlukan apa-apa perjanjian (dengan pemilik kediaman) kerana sudah ada akta. Pemaju hanya perlu bagi pampasan dan masa kepada pemilik untuk mencari rumah baharu. Sekarang ini macam mana (pemilik) nak cari rumah (lain), duit pun belum dapat lagi," katanya.

Johari berkata beliau ingin membela nasib rakyat dengan memastikan pembabitan secara terus bersama pemaju projek itu bagi mengelakkan ia terbengkalai dalam tempoh masa yang lama seperti Flat Pekeliling.

"Saya juga akan membawa perkara ini ke Parlimen, mempersoalkan bagaimana kerajaan meluluskan akta pengambilan Flat Sungai Baru untuk baki 11 peratus pemilik sedangkan pemaju tidak membuat pembayaran mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

Kerusi Parlimen Titiwangsa menyaksikan dua bekas Menteri Kabinet bertarung iaitu Johari, yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua, dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) selepas tiga penggal bertanding di Parlimen Shah Alam.

Turut bertanding Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Dr Rosni Adam daripada Perikatan Nasional manakala Pejuang mempertaruhkan Pengerusi parti itu bagi Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 11:49 PM