JKDM mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih dan minuman keras rentas sempadan bernilai RM507,700.
JKDM mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih dan minuman keras rentas sempadan bernilai RM507,700.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih dan minuman keras rentas sempadan bernilai RM507,700 dengan anggaran cukai serta duti lebih RM3 juta dalam dua serbuan berasingan, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, JKDM, Datuk Aidid Tajuddin berkata, serbuan pertama dijalankan pada jam 10.20 pagi, 31 Oktober lalu.

Katanya, hasil maklumat risikan, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), iaitu pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah Unit I (Kuala Lumpur) mematahkan cubaan menyeludup sejumlah rokok melalui serbuan sebuah gudang penyimpanan di Kawasan Perindustrian Rawang, Selangor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan 3,240,000 batang rokok putih di dalam 300 kotak yang disyaki tidak berkastam dianggarkan bernilai RM 377,400 membabitkan cukai dianggarkan berjumlah RM2,175,500.

"Muatan itu disimpan di aras bawah gudang dan dipercayai dibawa masuk melalui kontena dari kawasan pelabuhan utama negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, pengimportan rokok putih memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia mengikut Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Aidid berkata, dalam serbuan kedua pada 10.30 pagi, 15 November lalu, JKDM mematahkan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras yang disyaki tidak berkastam melalui penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena itu bersama wakil perkapalan menemukan sejumlah minuman keras yang mengandungi 16 peratus alkohol.

"Dianggarkan 22,464 liter minuman keras bernilai RM130,300 yang membabitkan cukai serta duti berjumlah RM864,000 dirampas.

"Susulan pemeriksaan itu, seorang lelaki yang bertindak sebagai 'forwarding agent' ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 6:29 PM