Rokok dan minuman keras seludup yang diletakkan dalam sebuah van di perkarangan sebuah kediaman di Jalan Kubong pada Jumaat lalu. FOTO ERIKA GEORGE
Rokok dan minuman keras seludup yang diletakkan dalam sebuah van di perkarangan sebuah kediaman di Jalan Kubong pada Jumaat lalu. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Limbang: Kegiatan sindiket penyeludupan tumpas apabila sebanyak 14,200 batang rokok dan 224.2 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM14,468 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kubong, di sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Limbang dan Pasukan Risikan Sarawak dengan kerjasama Cawangan Siasatan Khas (CSK) berdasarkan hasil risikan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, hasil pemeriksaan menemui 14,200 batang rokok dan 224.2 liter minuman keras pelbagai jenama dalam van Toyota Hiace dan di belakang rumah itu.

"Kita turut menahan seorang wanita tempatan berusia 50 tahun yang dipercayai pemilik kediaman terbabit untuk membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan ialah dengan menjadikan rumah sebagai tempat menyimpan dan menjual barangan tidak berkastam bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kesemua rampasan berkenaan termasuk van yang disita dianggarkan berjumlah RM37,463," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, orang ramai diseru memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:08 PM