ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan berhampiran Sungai Pendang. FOTO Ihsan APM.
ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan berhampiran Sungai Pendang. FOTO Ihsan APM.
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Paras air Sungai Pendang meningkat melebihi paras amaran 2.5 meter berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Setakat ini, dua rumah penduduk di Klang Taugeh, di sini dinaiki air namun keadaan masih terkawal.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, anggotanya melakukan pemantauan di empat lokasi kampung berhampiran sungai itu bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Kawasan itu adalah Seberang Pendang, Kampung Banggol Kambing, Kilang Taugeh dan Belakang Balai Bomba Sukarela.

"Setakat ini cuaca masih mendung namun, situasi terkawal. Anggota diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga jika hujan lebih dua jam yang mungkin berisiko banjir terutamanya di kawasan rendah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kecemasan dan menyimpan dokumen penting jika perlu berpindah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 9:39 PM