KHEMAH yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah ditambah berikutan jumlah mangsa yang meningkat. FOTO ihsan APM
KHEMAH yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah ditambah berikutan jumlah mangsa yang meningkat. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Mangsa banjir di daerah ini mencecah 140 orang yang terdiri daripada 36 keluarga berikutan limpahan air sungai.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, jumlah itu dilaporkan setakat jam 8 malam ini.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah adalah seramai 139 orang setakat jam 4 petang tadi.

"Paras air meningkat semula dan mencecah sehingga 2.9 meter disebabkan hujan lebat selama dua jam semalam dan pergerakan air Sungai Pendang yang deras.

"Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Sukamari, Kampung Seberang Pendang, Kampung Alor Punti, Kampung Batu 16, Kampung Tanah Merah Dalam, Kampung Tanjung Radin, Kampung Banggol Besi, Kampung Tok Pauh, Kampung Alor Ali, Kampung Titi Kera dan Kampung Sungai Mati," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yuslina berkata, keadaan terkini ketika ini cuaca mendung dan air sungai belum surut.

Beliau berkata, banjir yang berlaku sejak Khamis lalu disebabkan hujan lebat menyebabkan air Sungai Pendang melimpah secara mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 8:48 PM