Anggota APM Pendang melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air berikutan paras air Sungai Pendang yang meningkat. FOTO IHSAN APM
Anggota APM Pendang melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air berikutan paras air Sungai Pendang yang meningkat. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Paras air Sungai Pendang menunjukkan peningkatan iaitu 2.60 meter (m) yang melebihi tahap amaran 2.56 m hari ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air naik dengan cepat.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusof berkata, setakat ini hanya dua rumah yang terjejas dinaiki air iaitu di Kampung Seberang Pendang dan Kampung Sukamari.

Beliau berkata, paras air meningkat dengan cepat berikutan hujan lebat melebihi enam jam melanda semalam.

"Pemantauan anggota APM Pendang dilakukan di empat lokasi iaitu di Kampung Pondok Haji Husin, Kampung Seberang Pendang, Kampung Sukamari dan Kampung Banggol Kambing.

"Setakat jam 6 petang hari ini, trend air Sungai Pendang dilaporkan semakin menaik namun keadaan masih terkawal.

"Setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah namun anggota kami diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya hujan lebat turun lebih dua jam terutamanya di kawasan berisiko rendah berlakunya banjir," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yuslina berkata, hasil pemantauan anggotanya di Kampung Banggol Kambing mendapati, paras air Sungai Pendang kini sudah mencecah ke paras jalan manakala tiga kampung lagi air sungai semakin naik.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras bacaan air dua sungai di dua daerah melebihi tahap amaran.

Bacaan aras air Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar adalah 2.43 m melebihi paras amaran 2.3 m manakala bacaan paras air di Sungai Pendang di Pekan Pendang adalah 2.61 m (2.5 m).

Selain itu, aras air di dua sungai di Kota Setar iaitu Sungai Anak Bukit Jambatan TAR pula 1.5 m melepasi tahap waspada (1.4m) manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya adalah 1.51 m melepasi tahap waspada (1.5m).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 8:11 PM