Paras air yang meningkat menyebabkan beberapa kampung dinaiki air. FOTO IHSAN APM
Paras air yang meningkat menyebabkan beberapa kampung dinaiki air. FOTO IHSAN APM
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seramai 126 mangsa dari 32 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini berikutan banjir yang melanda sejak Khamis lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, semua mangsa dari sembilan kampung di lima mukim itu berpindah ke PPS berkenaan secara berperingkat berikutan paras air meningkat.

Beliau berkata, ia membabitkan Kampung Sukamari, Kampung Baru 16, Kampung Seberang Pendang, Kampung Tok Pauh, Kampung Alor Ali, Kampung Alor Punti, Kampung Banggol Besi, Kampung Tanjung Radin dan Kampung Tanah Merah Dalam.

"Paras air ketika berapa pada 2.98 meter dan boleh mengundang bahaya kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko.

"Hujan lebat melebihi dua jam sejak Khamis lalu menyebabkan air melimpahi sungai secara mendadak sekali gus menyebabkan banjir di beberapa kampung terbabit, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Yuslina berkata, limpahan berlaku akibat aliran arus deras menyebabkan beberapa buah rumah berhampiran Sungai Pendang dinaiki air dan pergerakan air yang laju.

Beliau berkata, setakat ini air tidak menunjukkan trend penurunan dan pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa di lokasi banjir.

"Pihak APM Pendang masih melakukan pemantauan dan sekiranya dikesan ada penduduk yang perlu berpindah, kita akan melakukan pemindahan segera.

"Sehubungan itu, penduduk kampung yang terjejas akibat banjir di daerah ini diharap dapat menghubungi pasukan penyelamat untuk memudahkan urusan perpindahan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 12:54 PM