ANTARA rumah terjejas dalam kejadian ribut berkenaan. FOTO ihsan APM
ANTARA rumah terjejas dalam kejadian ribut berkenaan. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Sebanyak 11 rumah di empat kampung di daerah ini rosak apabila sebahagian bumbung kediaman berkenaan diterbangkan angin akibat ribut, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, antara rumah yang terjejas adalah di Kampung Bukit Raya, Kampung Bukit Seni, Kampung Alor Parit dan Kampung Kubang Anak Gajah.

Beliau berkata, ribut itu dilaporkan jam 6.30 petang semalam.

"Hujan lebat lebih dua jam pada lewat petang semalam selain angin kencang di daerah ini mengakibatkan kejadian ribut dan pokok tumbang di beberapa kawasan .

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan, setakat ini," katanya di sini, hari ini.

Yuslina berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang melakukan operasi di lokasi kejadian sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu petang semalam.

Beliau berkata, ini kejadian kedua ribut dilaporkan berlaku di daerah ini dalam tempoh seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 8:21 AM