Anggota APM Pendang menyukat paras air dari Sungai Pendang yang melimpah susulan hujan lebat menyebabkan banjir di beberapa rumah penduduk. FOTO IHSAN APM
Anggota APM Pendang menyukat paras air dari Sungai Pendang yang melimpah susulan hujan lebat menyebabkan banjir di beberapa rumah penduduk. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Paras air Sungai Pendang menunjukkan paras bahaya mencecah 2.85 meter berikutan hujan lebat sejak semalam sehingga awal pagi ini.

Sehingga jam 12.30 tengah hari ini beberapa rumah yang rendah berhampiran sungai di daerah ini berisiko dilanda banjir sekiranya hujan lebat.

Berikutan itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang melakukan pemantauan di empat kampung yang dinaiki air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pemantauan dilakukan di belakang Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Kampung Sukamari, Kampung Seberang, Kampung Banggol Kambing dan Kampung Hampar Kanan bermula jam 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata, setakat ini hanya tiga rumah dinaiki air iaitu satu rumah di Kampung Sukamari dan dua rumah di Kampung Seberang.

"Hasil pemantauan kami mendapati, ada kawasan yang airnya sudah melepasi tebing sungai dan memasuki rumah penduduk serta kawasan sawah.

"Di Sungai Pendang, arus air laju tetapi masih dalam keadaan terkawal namun tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini kerana tiada mangsa yang terkesan mahu berpindah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yuslina berkata, bagaimanapun anggotanya sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir di daerah itu itu berikutan cuaca mendung ketika ini yang boleh mengakibatkan hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 2:42 PM