Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Akta Pencegahan Jenayah (POCA) perlu dipinda bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas membanteras jenayah dengan lebih berkesan.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, perkara itu bagaimanapun memerlukan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pejabat Peguam Negara.

Beliau turut mencadangkan antara pindaan perlu dibuat membabitkan Seksyen 4(1) iaitu memberikan tempoh reman selama 21 hari dan Seksyen 4(2) iaitu membolehkan tempoh reman dilanjutkan selama 38 hari.

"Saya rasa ini yang kita patut teliti dan KDN boleh mengambil tindakan dengan menilai semula akta berkenaan supaya dapat diberikan semula kepada polis untuk menjalankan tugas.

"Tugas hakiki PDRM ialah mahu menjaga keselamatan negara bukan menganiaya orang," katanya pada Forum Akta Pencegahan Jenayah 1959 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Terdahulu, Musa bersama bekas Peguam cara Negara Datuk Seri Abdul Razak Musa; bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Ishak Mohd Yusof serta Pakar Kriminologi dan Psikologi Kriminal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohammad Rahim Kamaluddin menjadi panel dalam forum berkenaan.

TAN Sri Musa Hassan. FOTO Arkib NSTP
TAN Sri Musa Hassan. FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, Abdul Razak berkata, POCA membantu dalam menangani sindiket jenayah terancang mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, penggunaan akta berkenaan membolehkan suspek ditahan dan dibawa ke mahkamah.

"Walaupun peranan suspek kecil seperti memantau kawasan sebelum melakukan jenayah, ia boleh dikenakan tindakan.

"Ini menjadikan akta ini penting berdasarkan keterangan ahli kumpulan," katanya.

Pada April lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan klausa yang terdapat dalam peruntukan POCA yang mengecualikan kuasa hakim daripada meneliti alasan penahanan seseorang tahanan, adalah tidak sah.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang mempengerusikan panel tiga hakim dalam penghakiman majoriti berkata, Seksyen 15B POCA bukan sahaja menyekat sebarang bentuk semakan kehakiman, tetapi juga menetapkan bahawa mahkamah tidak boleh menjalankan bidang kuasanya terhadap keputusan yang dibuat oleh lembaga POCA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 4:24 PM