Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua Ahli Parlimen berkaitan cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk MP dengan kerap bagi memutuskan pindaan itu.

"Semua pemegang taruh harus dijelaskan dengan keperluan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semula Akta Poca untuk mengawal jenayah.

"KDN dan polis kini bersedia untuk mengadakan sesi libat urus yang menunjukkan bagaimana keterbukaan kita membabitkan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh dalam perkara menambah baik Poca.

"Polis kita bukan tutup pintu, tetapi sedar bahawa kita perlu mendengar daripada semua pihak dan itu yang kita buat," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta Pengarah Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

Saifuddin berkata, pihaknya fokus kepada isu yang dibincangkan termasuk berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 4 dan Seksyen 15 akta itu sebagai tidak berperlembagaan.

Katanya, Mahkamah Persekutuan berpendapat perkataan 'shall' dalam seksyen itu sebagai mengambil kuasa mahkamah dalam perkara memutuskan mengenai perintah reman.

"Akibat keputusan Mahkamah Persekutuan itu, PDRM sebagai agensi penguatkuasa undang-undang tidak boleh melaksanakan Akta Poca.

"Maka kita tengok apa akibatnya apabila tidak boleh guna pakai Poca, adakah menyumbang kepada trend jenayah yang meningkat? Jawapannya adalah ya.

"Kita ada kekangan itu disebabkan kekurangan terutama membabitkan trend jenayah bersifat seperti 'scam' (penipuan) dan judi dalam talian. Ini adalah polemik yang sudah lama," katanya.

Justeru itu, katanya, pada sesi libat urus diadakan kelmarin, mereka memutuskan untuk mengadakan sesi penerangan mengenai keperluan pindaan akta berkenaan kepada semua ahli parlimen dan ahli dewan rakyat.

"Kita libatkan seberapa ramai ahli parlimen dan ahli dewan rakyat kerana kita perlu membuat penerangan tepat kepada mereka sebelum melakukan pindaan.

"Kita perlukan banyak lagi libat urus dengan fokus kumpulan iaitu ahli-ahli parlimen dengan lebih kerap kerana mereka yang akan buat keputusan (melakukan pindaan) nanti," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B Poca ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan atas sebab merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

Sesi libat urus kelmarin turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Delegasi KDN diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, manakala delegasi PDRM diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 9:01 PM