Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya bagi rayuan oleh polis dan kerajaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan penahanan bekas aktivis antijenayah R Sri Sanjeevan selama 16 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) sebagai menyalahi undang-undang.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk S Nantha Balan, Datuk See Mee Chun dan Datuk Azimah Omar mendengar rayuan itu secara dalam talian hari ini.

Hakim Nantha Balan, yang mengetuai panel itu berkata, mereka memerlukan masa untuk meneliti isu yang dibangkitkan dalam rayuan itu kerana perkara tersebut penting.

Beliau memberitahu Peguam Kanan Persekutuan Norfauzani Mohd Nordin yang mewakili pegawai penyiasat ASP Poonnam E Keling, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan Malaysia serta peguam S Preakas yang mewakili Sri Sanjeevan bahawa pendaftar mahkamah akan memaklumkan tarikh keputusan itu kepada mereka.

Polis dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Jun tahun lepas yang membenarkan saman sivil Sri Sanjeevan bagi pemenjaraan salah dan mengarahkan ganti rugi am, teladan dan teruk dibayar kepadanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache juga memutuskan penahanan Sri Sanjeevan adalah menyalahi undang-undang dan haknya di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan telah dilanggar oleh Poonnam.

Beliau mengarahkan ganti rugi tersebut dinilai dalam perbicaraan berasingan yang ditetapkan kemudian.

Hakim Mahkamah Tinggi itu mendapati Poonnam bertanggungjawab kerana menahan Sri Sanjeevan secara salah dan KPN serta kerajaan bertanggungjawab secara wakil atas tindakan Poonnam.

Sri Sanjeevan, 38, bekas pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), menyaman polis dan kerajaan dengan mendakwa dia telah ditahan secara salah oleh Poonnam selama 16 hari antara 10 Julai 2016 dan 26 Julai 2016 selain turut diserang. Dia memohon ganti rugi atas kecederaan yang dialaminya.

Dalam prosiding rayuan hari ini, Norfauzani berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan Sri Sanjeevan telah ditahan secara salah dengan bergantung kepada keputusan Mahkamah Tinggi lain yang membenarkan permohonan habeas corpus Sri Sanjeevan dan membebaskannya daripada tahanan.

Beliau berhujah hakim itu tersalah kerana bergantung pada keputusan habeas corpus tanpa membuat penemuan fakta sendiri mengenai apa yang menyebabkan Sri Sanjeevan ditahan secara salah.

Preakas bagaimanapun, dalam hujah balasnya berkata, hakim Mahkamah Tinggi betul dalam memutuskan penahanan 16 hari anak guamnya adalah menyalahi undang-undang kerana tiada bukti Sri Sanjeevan terbabit dalam keganasan terancang yang mewajarkan penahanannya.

Beliau berkata Poonnam, dalam keterangannya semasa pemeriksaan balas, mengesahkan bahawa kes membabitkan Sri Sanjeevan tidak berkaitan dengan keganasan terancang.

Sri Sanjeevan ditahan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti jenayah pada 10 Julai 2016 di bawah Poca dan dihadapkan di hadapan majistret pada hari berikutnya, yang mengeluarkan perintah reman 21 hari.

Sebelum tamat tempoh reman 21 hari, Sri Sanjeevan memfailkan permohonan habeas corpus bagi memastikan dia dibebaskan daripada tahanan.

Dia dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya pada 26 Julai 2016 kerana melanggar prosedur mandatori di bawah Poca.

Kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi kemudiannya menarik balik rayuan itu.

Sri Sanjeevan kemudian memfailkan tindakan sivil terhadap polis dan kerajaan untuk pemenjaraan secara salah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 7:06 PM