MANGSA banjir di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang berkemas barang untuk pulang ke rumah. FOTO Safuri Kamarudin
MANGSA banjir di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang berkemas barang untuk pulang ke rumah. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin.

Baling: Pejabat Daerah Baling dalam usaha mengenal pasti kawasan sesuai dan selamat bagi penempatan semula 19 keluarga di Kampung Padang Empang, Kupang yang terjejas akibat banjir kilat Khamis lalu.

Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah berkata, pihaknya juga perlu mengkaji terlebih dahulu lokasi baharu itu sebelum mengemukakan laporan dan cadangan kepada pihak atasan.

"Kita akui penduduk yang tinggal di tebing Sungai Kupang sering dilanda banjir akhir-akhir ini selepas berlaku tragedi kepala air dan banjir lumpur (4 Julai lalu).

"Kedudukan kediaman mereka tidak lagi selamat kerana setiap kali hujan lebat lebih dua jam, air melimpah dengan cepat masuk ke rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dipetik berkata, laporan cadangan tapak penempatan baharu itu dijangka diperoleh daripada Pejabat Daerah Baling Rabu depan.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Mariam Abdul Isa, 70, berkata, dia tidak berani lagi untuk pulang ke rumah selepas kejadian kepala air dan banjir baru-baru ini.

"Kami sekeluarga tidak berasa selamat lagi untuk tinggal di rumah sedia ada, tambahan pula keadaan suami (Saad Md Piah, 70) yang lumpuh sejak sembilan tahun lalu.

"Dulu jika banjir tidaklah terasa sangat walaupun rumah dimasuki air, tetapi kali ini air naik sehingga paras tingkap," katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi penduduk, Siti Hajar Said, 34, berkata, banjir kali kedua Khamis lalu sehingga separas satu meter menyebabkan dia dan keluarga bergegas keluar ke tempat selamat bagi mengelak terperangkap.

"Bila ingatkan semula kejadian itu, rasa takut nak pulang ke rumah lagi dan berharap pihak berwajib menyediakan penempatan baharu untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 2:31 PM