DARI kiri, Syarina Hyzah; Ketua Pegawai Komunikasi HDC, Norashekin Yusof, Mohd Azlan Helmi dan Hairol Ariffein pada majlis pertukaran MoA kerjasama itu.
DARI kiri, Syarina Hyzah; Ketua Pegawai Komunikasi HDC, Norashekin Yusof, Mohd Azlan Helmi dan Hairol Ariffein pada majlis pertukaran MoA kerjasama itu.
Oleh Bisnes HM


Kuala Lumpur: Funding Societies menandatangani perkongsian strategik dengan Halal Development Corp Bhd (HDC) untuk menawarkan akses perniagaan halal kepada kemudahan kewangan digital yang patuh syariah, sekali gus meningkatkan pembangunan ekosistem halal.

Dalam kenyataan baru-baru ini, platform kewangan digital bersepadu bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dan Asia Tenggara itu berkata, kerjasama ini menyokong pembangunan industri halal tempatan dan memenuhi pasaran halal global yang semakin berkembang, yang dijangka bernilai AS$5 trilion (RM23.24 trilion) menjelang 2030.

Ia menyatakan Pelan Induk Industri Halal 2030 meramalkan industri halal Malaysia akan berkembang menjadi AS$113.2 bilion pada tahun 2030, dan menyumbang 8.1 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025.

Pada 2022, eksport halal keseluruhan bernilai RM59.5 bilion, dengan industri halal menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada KDNK negara.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia Chai Kien Poon berkata, berikutan pelancaran produk pembiayaan patuh syariah yang komprehensif pada Mei lalu ini, Funding Societies berada di kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada usahawan Muslim serta peniaga dalam ekonomi halal.

Beliau berkata, penekanan terhadap ketelusan yuran dan caj juga semakin menarik minat warga bukan Islam terhadap produk ini.

"Sejak pelancaran, Funding Societies mengagihkan lebih RM100 juta melalui penyelesaian pembiayaan patuh syariah kami. Kerjasama ini akan membantu meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan ekonomi halal serta akan meluaskan akses pasaran eksport untuk pemain industri halal di negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Perkongsian strategik antara kedua pihak berkenaan dimeterai menerusi sesi pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara Funding Societies dan HDC semasa Jelajah Halal Malaysia 2023 di Ipoh.

Pada majlis berkenaan, Funding Societies diwakili oleh Pengurus Kanan Usahasama dan Kerjasama Strategiknya, Syarina Hyzah Zakaria manakala HDC oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffien Sahari.

Ia disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi.

Beroperasi sejak tahun 2017, Funding Societies sudah menyediakan pembiayaan kepada ribuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan mengagihkan lebih RM2 bilion sejak penubuhannya di negara ini.

Di Asia Tenggara, platform kewangan digital ini mencapai lebih RM5 bilion agihan dana modal kerja melalui lebih lima juta transaksi setakat November 2023.

Funding Societies turut menyasarkan lebih 50 peratus daripada pengagihannya daripada portfolio pembiayaan patuh syariah menjelang 2025.

HDC adalah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:02 AM