PKS perlu cari langkah  meluaskan perniagaan halal ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
PKS perlu cari langkah meluaskan perniagaan halal ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) optimis eksport halal negara mampu mencatatkan pertumbuhan 10 peratus bagi 2019 berbanding RM40 bilion tahun lalu meskipun dalam suasana ekonomi semasa yang semakin mencabar.

Naib Presiden Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan lebih tinggi berbanding kadar biasa iaitu sekitar empat hingga lima peratus setahun memandangkan nilai eksport halal tahun lalu sedikit merosot berbanding RM43 bilion yang dicapai pada 2017.

Sasaran yang lebih tinggi itu ditetapkan bagi membolehkan negara memenuhi aspirasi untuk mencatatkan RM50 bilion nilai eksport halal menjelang 2020.

Katanya, eksport utama produk halal Malaysia adalah makanan diikuti dengan bahan mentah terutama berasaskan minyak ksawit.

“Harga minyak sawit yang rendah menyebabkan prospek industri halal negara tahun ini sangat mencabar, berikutan peningkatan persaingan antara Malaysia dengan satu lagi pengeluar utama minyak sawit iaitu Indonesia.

“Kami perlu berusaha lebih keras, termasuk memperkemaskan promosi dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di samping mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Industri Utama bagi menangani tanggapan negatif daripada pasaran Eropah berhubung minyak kelapa sawit,” katanya pada media ketika AmBank BizCONFRENCE Beyond Financing Series yang bertajuk Halal Chapter.

Acara itu bertujuan menyediakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pemahaman mengenai topik penting berkaitan industri halal dan membantu mereka mendapatkan pandangan daripada pemain industri mengenai langkah meluaskan perniagaan halal ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Katanya, industri halal tempatan kekal aktif dengan kemasukan pelaburan bernilai RM13.3 bilion ke 13 Taman Industri Halal di seluruh negara setakat 2018 dan pihaknya menyasarkan nilai terbabit akan bertambah kepada RM15 bilion pada 2020.

“Beberapa syarikat multinasional turut mengumumkan projek baharu dalam industri halal di negara ini termasuk kerjasama oleh FGV Holdings Bhd dengan Samyang Foods Co Ltd yang berpangkalan di Korea Selatan bagi mewujudkan kemudahan pengilangan ramen halal di sini,” katanya.

Hanisofian berkata, PKS perlu meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan halal dan mempelajari lebih lanjut mengenai pasaran yang ingin diterokai berikutan permintaan serta minat yang semakin tinggi daripada negara luar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:39 AM