AMINUDDIN (empat dari kiri) merasmikan Ibu Pejabat Persatuan Nan Yang Yap Si Malaysia di Pusat Komersial Oakland Seremban 2, di sini, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN (empat dari kiri) merasmikan Ibu Pejabat Persatuan Nan Yang Yap Si Malaysia di Pusat Komersial Oakland Seremban 2, di sini, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi Sungai Linggi akan diteruskan dalam fasa lima membabitkan peruntukkan kira-kira RM200 juta sebagai sebahagian daripada usaha mengatasi masalah banjir di daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata ketika ini kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menunggu kelulusan peruntukan berkenaan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sungai Linggi sudah di naik taraf sehingga fasa empat, sekarang sedang menunggu kelulusan untuk fasa lima dan insya-Allah akan dimulakan pada tahun hadapan.

"Fasa lima ini nanti membabitkan proses naik taraf Sungai Linggi dari Kuala Sawah, Rantau hingga ke Jalan Pantai, Seremban sepanjang 20 kilometer (km) dan ia dijangka dapat mengurangkan risiko banjir membabitkan beberapa kawasan seperti Rasah dan Rahang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai merasmikan Ibu Pejabat Persatuan Nan Yang Yap Si Malaysia di Pusat Komersial Oakland Seremban 2, di sini, hari ini.

Aminuddin mengulas mengenai kejadian banjir kilat berulang yang melanda beberapa kawasan di daerah ini petang Jumaat lalu membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Semarak dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

Beliau berkata, sepanjang 10 km lagi sedang disiapkan dalam projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi fasa empat yang menelan kos RM66.6 juta.

"Kerajaan negeri berharap kelulusan peruntukan bagi RTB itu dapat disegerakan bagi membolehkan usaha menangani banjir di kawasan penempatan pinggir Sungai Linggi dapat diatasi," katanya.

Terdahulu, penduduk di beberapa penempatan meluahkan rasa kecewa apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat malah terdapat yang sudah tiga kali dilanda bencana itu tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 4:24 PM