AMINUDDIN Harun pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN Harun pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri menafikan berlaku kegiatan penebangan hutan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johol, Kuala Pilah dekat sini, sehingga banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tiada aktiviti penebangan hutan atau pembalakan di kawasan itu.

"Aktiviti penebangan hutan di situ (Inas, Johol) hanya berlaku lima atau enam tahun dulu tetapi sekarang tiada. Apa yang ada hanya aktiviti tanam semula (durian) di tanah milik Yayasan Negeri Sembilan (YNS) yang dipajak kepada pengusaha.

"Tanah itu sudah lama dipajak tetapi pengusaha baru hendak memulakan tanaman.

"Namun, kita (kerajaan negeri) akan menyemak dan mendapatkan laporan sama ada masih terdapat aktiviti yang tidak sepatutnya seperti penebangan hutan di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Kelmarin, beberapa penempatan penduduk di kawasan perkampungan di Inas Johol dinaiki banjir menyebabkan 110 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kejadian banjir kilat itu bukan sahaja melanda di Johol tetapi di Linggi, Port Dickson, Pantai dan Kampung Ismail Ampangan di sini, serta kawasan pinggiran Sungai Mahang di Nilai.

Beliau berkata, ia berpunca daripada taburan hujan yang tinggi dan dalam tempoh lama pada hari kejadian sehingga mengakibatkan kawasan rendah mudah dinaiki air banjir.

"Jika ada faktor kecuaian manusia yang menyumbang kepada kejadian banjir kilat ini, kita akan membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar mempelawa orang ramai hadir pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini, Sabtu ini.

Menurutnya, majlis sambutan itu akan bermula dari jam 11 pagi hingga 3 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 5:46 PM