Aminuddin Harun (tengah) pada sidang media di Seremban hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Aminuddin Harun (tengah) pada sidang media di Seremban hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Banjir kilat yang melanda di tiga daerah di negeri ini malam tadi mengkibatkan kerosakan pada harta benda dengan nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM1 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata hujan lebat lebih tiga jam bermula 6.30 petang semalam menyebabkan paras air di sepanjang jajaran Sungai Linggi melepasi paras bahaya sekali gus berlaku limpahan ke kawasan penempatan.

Katanya, sebanyak 257 rumah penduduk di daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson terjejas akibat kejadian itu.

"Setakat ini, hanya satu Pusat Perpindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Balai Raya Pematang Pasir Port Dickson membabitkan 60 orang mangsa dari lima keluarga.

"Secara keseluruhannya sebanyak 257 keluarga terjejas di Negeri Sembilan dengan jumlah kerugian menghampiri RM1 juta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 2024, di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, laporan penuh dan terperinci berhubung kejadian itu sedang diselaraskan di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah.

Beliau berkata, kejadian banjir kilat kali ini dianggap kedua terbesar selepas 2021 apabila merekodkan jumlah hujan sebanyak 93 mm dalam tempoh dua jam di Seremban dan 75 mm di stesen Rembau.

Katanya, bantuan pasca banjir dan pembersihan rumah serta penyerahan kit makanan dan bantuan asas lain akan segera dilaksanakan untuk semua mangsa yang terjejas.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sedang mengagihkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

"Kita juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mendapatkan bantuan kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:44 PM