Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Malaysia masih mengalami inflasi pada kadar terendah di Asia Tenggara hasil usaha berterusan kerajaan menanganinya dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim dunia memberi kesan serta cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia.

"Kenaikan harga jagung bijiran dan baja serta kenaikan kos logistik menyebabkan peningkatan harga barangan yang menyaksikan kadar inflasi juga meningkat tinggi.

"Namun Malaysia masih mengalami inflasi pada kadar terendah di Asia Tenggara hasil usaha berterusan kerajaan menanganinya dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion.

"Kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia tentang kenaikan harga barang, khususnya membabitkan bahan makanan dengan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur dan RM4 bilion untuk minyak masak paket," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini.

Ismail Sabri ketika hadir pada perasmian sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ismail Sabri ketika hadir pada perasmian sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pada masa sama, beliau berkata, kaedah menangani miskin tegar dengan kaedah baru secara holistik membabitkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sedang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menghapuskan miskin tegar pada 2025.

"Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) adalah bantuan tunai tertinggi dalam sejarah, dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian dalam mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan dengan memperuntukkan RM124 juta kepada hampir 590,000 penerima BKM meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 12:56 PM