BERNAMA

Kuching: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Sarawak dapat mencapai sasarannya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 di bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya di samping keyakinan ini, Kerajaan Persekutuan akan terus mengutamakan pembangunan Sarawak, dan ini terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan RM4.55 bilion yang disediakan di bawah Rancangan boleh pinda (Rolling Plan) Kedua tahun 2022 Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Selain itu, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMK-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) edisi Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya daripada 409 projek pembangunan baharu dan sambungan, 111 projek kini siap sepenuhnya, 109 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 projek berstatus prabina.

"Peruntukan RM2.16 bilion turut disediakan bagi menampung 361 projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif," katanya.

Ismail Sabri berkata empat lokaliti di Sarawak juga dikenal pasti bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan mencapai tahap kemiskinan tegar sifar menjelang 2025.

ISMAIL Sabri (tengah) memetik tali Sape sebagai gimik perasmian  Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sarawak bersama Abang Johari (dua kiri). FOTO Nadim Bokhari
ISMAIL Sabri (tengah) memetik tali Sape sebagai gimik perasmian Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sarawak bersama Abang Johari (dua kiri). FOTO Nadim Bokhari

Selain BMTKM beliau berkata, 867,967 Keluarga Malaysia di Sarawak menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan RM745 juta.

"Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini," katanya sambil menambah Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Menurutnya kerajaan juga akan meneruskan Fasa Kedua Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.

"Projek Fasa Kedua SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion. Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 12:54 PM