MAQIS merampas 10,000 kg ketam sejuk beku dari Indonesia di Pelabuhan Klang Barat di sini pada Isnin lalu. FOTO ihsan MAQIS
MAQIS merampas 10,000 kg ketam sejuk beku dari Indonesia di Pelabuhan Klang Barat di sini pada Isnin lalu. FOTO ihsan MAQIS
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 10,000 kilogram (kg) ketam sejuk beku dari Indonesia di Pelabuhan Klang Barat, di sini, Isnin lalu.

Maqis Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, ketam sejuk beku itu ditemui hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan, sebelum mendapati kontena mengandungi bahan terbabit tidak mempunyai sebarang permit import sah dikeluarkan oleh agensi itu.

"Keseluruhan hasil dagangan yang dianggarkan 10,000 kilogram (kg) dengan nilai anggaran RM46,000 ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kontena itu disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, Maqis akan sentiasa memastikan tindakan penguatkuasaaan undang-undang terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 1:46 PM