Maqis menahan 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India. FOTO ihsan Maqis
Maqis menahan 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India. FOTO ihsan Maqis
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan 28 tan daging kerbau sejuk beku kerana didapati tidak mempunyai permit import sah di Pelabuhan Klang Barat, di sini, Selasa lalu.

Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, kontena yang membawa daging kerbau dari India itu ditahan selepas penguat kuasa menjalankan pemeriksaan rutin harian di pintu masuk Maqis pada jam 12.15 tengah hari.

"Kontena yang mengandungi daging kerbau sejuk beku itu ditahan untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan Permit Import Maqis yang sah.

"Siasatan lanjut mendapati daging kerbau sejuk beku seberat 28,008 kilogram atau 28 tan itu dianggarkan bernilai RM290,786.06

"Daging kerbau sejuk beku yang tiba sejak 13 Jun lalu dibawa masuk untuk dijual di pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Maqis tidak akan berkompromi dalam aspek halal kerana ini adalah perkara yang paling dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia.

"Justeru Maqis menasihati semua pemain industri pengimportan dan pengeksportan sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan agar jaminan keselamatan makanan negara terpelihara dari setiap aspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 11:36 AM