Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengesahkan menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan yang juga seorang pempengaruh (influencer) berhubung gambarnya dan gambar notis saman yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, laporan diterima pada 3 petang semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pendedahan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ishak Abu Bakar di talian 03-61262222/ 011-39032329," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pempengaruh, Haqiem Stopa membuat laporan polis susulan butiran peribadi yang tertera dalam notis saman ditularkan di laman sosial.

Haqiem, 22, memuat naik gambarnya membuat laporan polis berkenaan di ruangan Instagram (IG) Story miliknya, semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi Harian Metro dilaporkan mengesahkan seorang pempengaruh disaman kerana didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Raja Laut, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, lelaki berusia 20-an berkenaan ditahan ketika sedang memandu kereta jenis Audi.

Polis mengeluarkan notis saman terhadap individu berkenaan bagi kesalahan tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Portal Harian Metro hari ini pula melaporkan penjelasan Haqiem yang mengakui kesalahan dilakukan dan kesediaannya untuk menanggung akibatnya.

Bagaimanapun, Haqiem menafikan dia disaman atas kesalahan tiada lesen motosikal sebaliknya ditahan ketika memandu kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 6:10 PM