Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sikap 'besar kepala' enam warga asing melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk memandu tanpa lesen mengundang padah apabila disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, hari ini.

Malah, lima daripada enam kenderaan digunakan mereka iaitu kereta dan empat motosikal turut disita dalam menerusi Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, operasi dilaksanakan di sekitar Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) disertai tujuh anggota Unit Operasi JPJ berpakaian preman memeriksa enam kenderaan.

"Sebanyak 14 notis saman P (22), lima notis penyitaan kenderaan Seksyen 64(1) dan masing-masing satu notis larangan penggunaan kenderaan PG(1) dan notis arah periksa Seksyen 61(1) dikeluarkan dalam operasi ini.

"Semua yang ditahan terdiri daripada dua warganegara Bangladesh dan empat Myanmar (Rohingya) dan masing-masing tidak memiliki lesen memandu sah," katanya dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, hasil soal tanya terhadap semua warga asing terbabit mendapati lima kenderaan disita itu adalah milik penduduk tempatan yang berbeza.

"Antara alasan diberikan oleh warga asing terbabit, adalah meminjam kenderaan untuk membeli barang.

"Sebuah kenderaan dimiliki oleh warga Bangladesh terbabit tidak disita tetapi pemandunya dikenakan saman kerana tiada lesen memandu," katanya.

Beliau berkata, operasi itu pertama kali dibuat susulan aduan dan risikan dilakukan pihaknya yang memandang serius berhubung peningkatan pemandu warga asing di jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang khususnya di Melaka.

"JPJ ingin menegaskan bahawa pemandu warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan tanpa lesen memandu.

"Tindakan tegas akan dikenakan termasuk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing menggunakannya mengikut peruntukkan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 8:30 PM