DATUK Mohd Roze Shaari (tengah). FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
DATUK Mohd Roze Shaari (tengah). FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung penipuan tiga jemaah haji yang menjadi mangsa sebuah ejen pelancongan yang membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM48,000.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, tiga kes itu membabitkan dua kes di Alor Setar dan satu kes di Sungai Petani pada minggu lalu.

Beliau berkata, kesemua mereka mempunyai kaitan dengan kes penipuan membabitkan jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.

"Kes di Alor Setar membabitkan pasangan suami isteri berusia 48 dan 52 tahun manakala di Sungai Petani membabitkan seorang wanita berusia 46 tahun.

"Ketiga-tiga mereka mendapati nama mereka tiada dalam senarai dan masing-masing kerugian RM16,000 setiap seorang.

"Mereka membuat laporan di dua daerah berkenaan dan siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kejadian 7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejak pagi tadi dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 11:05 PM