ANTARA waris dan bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA semalam. FOTO Facebook
ANTARA waris dan bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA semalam. FOTO Facebook
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menafikan pembabitannya dalam isu yang membabitkan hampir 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel serta Pusat Konvensyen Movenpick KLIA.

Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata ia susulan terdapat logo MAIWP Healthcare Sdn Bhd pada salah satu sepanduk yang dilihat berdekatan kumpulan jemaah berkenaan, yang tular di laman media sosial, semalam.

"MAIWP Healthcare adalah anak syarikat iaitu sebagai vendor sahaja. Mereka (agensi berkenaan) menggunakan khidmat MAIWP Healthcare untuk menyediakan alat perubatan seperti demam, selesema, dan sebagainya di sana.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengagihan Manfaat Wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy MAWIP di sini hari ini.

Beliau berkata MAIWP atau anak syarikatnya bukanlah pihak yang menguruskan jemaah haji, dan ia hanya sebagai pihak yang dianggap kontraktor berasingan menyediakan bahan-bahan perubatan di tanah suci Makkah.

"Dan kita kesal dengan apa yang berlaku dan kita harap pihak yang terbabit mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku, dan ini bukan urusan MAIWP kerana MAIWP hanya melihat kepada isu agama, sosial ekonomi islam," katanya.

Terdahulu kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 6:11 PM