ATARA bakal haji yang terkandas di KLIA, 8 Julai lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
ATARA bakal haji yang terkandas di KLIA, 8 Julai lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan penipuan pakej haji membabitkan kerugian RM38,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan M Zambri Mahmud berkata, ia susulan laporan dibuat mangsa, 62, dari Dungun yang dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan berkenaan.

Beliau berkata, ia membabitkan agensi pelancongan sama yang dipercayai terbabit dalam kes 400 individu ditawarkan pakej haji dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu membuat pembayaran pertama sebanyak RM3,000 kepada agensi pelancongan berkenaan pada 2 Jun lalu.

"Mangsa seterusnya membuat pembayaran penuh sebanyak RM35,000 lagi sebelum dijanjikan akan diberikan tiket penerbangan dan lain-lain urusan berkaitan.

"Namun, pemilik agensi berkenaan memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan mangsa sehingga menyebabkannya terkandas di KLIA pada 7 Julai lalu sebelum satu laporan polis dibuat, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Md Zambri berkata, tangkapan terhadap suspekakan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan di kontijen lain yang terbabit selesai.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam pemilihan pakej haji dan memilih agensi pelancongan yang berkeupayaan untuk melaksanakannya bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 11:38 AM