LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Izad Thaqif Hassan


Alor Setar: Kegiatan sindiket menjual darjah kebesaran tidak diiktiraf di negeri ini, dipercayai terbongkar selepas salah seorang 'penerima' memohon membuat cetakan semula watikah dan surat akuan pingat berkenaan.

Menurut sumber, permohonan itu dilakukan seorang lelaki berusia 57 tahun yang menghantarnya melalui e-mel kepada seorang pegawai kanan pentadbiran Ogos lalu.

"Kandungan e-mel terbabit menyatakan lelaki berkenaan pernah menerima Darjah Kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) yang dikurniakan kepadanya pada 2015.

"Bagaimanapun, pegawai kanan terbabit melakukan semakan melalui unit berkaitan di pejabatnya dan kepada Pejabat Jemaah Dato-Dato Kedah sebelum mendapati nama lelaki itu tidak wujud dalam rekod sebagai penerima," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sumber berkata, pegawai kanan terbabit turut membuat semakan sama ada lelaki berkenaan menerima DSDK sebelum atau selepas 2015, namun gagal menemui sebarang rekod penerimaan.

"Berikutan itu, pegawai kanan berkenaan mengesyaki lelaki terbabit memperoleh gelaran 'Datuk' melalui cara tidak diiktiraf sebelum bertindak membuat laporan polis.

"Susulan daripada laporan itu, polis berjaya mengesan dan menahan ahli sindiket dan beberapa individu yang menggunakan darjah kebesaran tidak diiktiraf dalam operasi khas," katanya.

Media semalam, melaporkan seramai 19 individu berusia antara 30 hingga 63 tahun terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ahli perniagaan ditahan dalam Op Watikah yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Difahamkan, antara modus operandi digunakan sindiket ialah dengan cara mendekati individu tertentu yang mempunyai wang dan menawarkan gelaran Datuk kepada mereka sekiranya menderma kepada pihak istana dalam jumlah tertentu.

Seorang individu iaitu lelaki berusia 40-an yang ditahan polis Jumaat lalu, di Selangor, mendedahkan dia 'menderma' sehingga RM200,000 bagi mendapatkan gelaran berkenaan.

Selain itu, seorang daripada ahli sindiket turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua pertuduhan terbabit dalam kegiatan menjual darjah kebesaran negeri yang tidak diiktiraf.

Berita berkaitan

Darjah kayangan

Individu beli darjah kebesaran tidak diiktiraf diminta tampil

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 5:24 PM