GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Wanita mengandung ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Kampung Repek, di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 26 tahun yang mengandung tujuh bulan ditemui jam 4 petang oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa bekerja sebagai peniaga ditemui terbaring di tempat duduk pemandu.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan di perut kiri mangsa dan ibu mangsa memaklumkan wanita itu mengandung tujuh bulan.

"Hasil temubual saksi juga mendapati, kenderaan jenis Nissan Cefiro diparkir di tepi jalan sejak petang kelmarin.

"Terdapat satu biji kelongsong peluru ditemui di bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah pemandu. Semakan awal mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama mangsa sendiri.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun jam 11.30 malam tadi.

"Suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan di Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 7:34 AM