TANGKAP layar video yang tular di TikTok. Polis nafikan kejadian itu ada kaitan dengan geng kongsi gelap. FOTO tular
TANGKAP layar video yang tular di TikTok. Polis nafikan kejadian itu ada kaitan dengan geng kongsi gelap. FOTO tular
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis menafikan isu tular siasatan mengenai dua jengkaut dibakar di daerah ini, semalam, ada unsur pemerasan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, polis sudah menahan dua lelaki tempatan berusia 18 dan 26 tahun kira-kira 11.30 malam di sekitar jalan Sri Cheeding dan siasatan mendapati kejadian itu tiada kaitan dengan geng kongsi gelap.

"Siasatan mendapati, kira-kira 10 malam tadi (semalam), tular satu video berdurasi 0.33 saat di Tiktok berkaitan dua jentera excavator yang terbakar di kawasan tapak projek pemasangan paip gas di tepi jalan Sri Cheeding, dipercayai berlaku pada 9.40 malam.

"Setakat ini, siasatan polis tidak mengesan sebarang unsur pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap sebagaimana didakwa di dalam video itu," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, polis juga sudah memanggil pemilik akaun Tiktok terbabit untuk mendapat keterangan berkaitan kenyataan yang ditularkan.

"Pemilik akaun itu memberitahu dia hanya mendengar khabar angin sahaja dan tidak dapat mengesahkan kebenaran mengenai punca kejadian yang berlaku.

"Polis menjalankan siasatan berkaitan kejadian itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Ahmad Ridhwan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebar sebarang berita yang tidak dapat disahkan kebenarannya mengenai kejadian itu.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Fadzil Mohamad Saidi di talian 013-9311208 / 03-31872222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 9:53 PM