GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Lelaki ditahan polis selepas disyaki membakar kain rentang khemah di sini, semalam.

Kejadian itu dipercayai berkaitan isu pemerasan wang perlindungan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya mengesan dua video tular yang dimuatnaik di TikTok disyaki mengenai pemerasan wang perlindungan dan kebakaran kain rentang khemah di kedai runcit di sekitar kawasan Sungai Jarom, semalam.

"Kira-kira 2 pagi hari sama, polis menerima laporan daripada seorang perempuan berumur 34 tahun menyatakan kain rentang khemah milik kedainya dibakar oleh seorang lelaki tidak dikenali.

"Pengadu juga pernah membuat laporan polis menyatakan beliau pernah dihubungi oleh seorang lelaki meminta wang perlindungan kerana menjaga kedai milik pengadu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, susulan laporan itu, polis menangkap suspek lelaki, 42, 4.30 petang di Sungai Jarom.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas telefon bimbit berserta kad sim milik suspek.

"Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau dikenakan sebat jika sabit kesalahan serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 12:13 PM