ANGGOTA APM Negeri Perlis sedang membersihkan pokok tumbang di beberapa batang jalan raya di Kangar selepas hujan lebat dan angin kencang berlaku di Perlis sejak awal pagi ini. FOTO ihsan APM Perlis
ANGGOTA APM Negeri Perlis sedang membersihkan pokok tumbang di beberapa batang jalan raya di Kangar selepas hujan lebat dan angin kencang berlaku di Perlis sejak awal pagi ini. FOTO ihsan APM Perlis
Aizat Sharif


Kangar: Hujan lebat yang berlaku sekitar daerah Arau, Kangar dan Padang Besar sejak dari awal pagi hari ini mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang serta rumah rosak akibat diterbangkan angin kencang yang berlaku.

Tinjauan di sekitar daerah Padang Besar mendapati beberapa buah rumah di sekitar kawasan Panggas dan Tasik Melati rosak selepas bumbung rumah mereka hilang diterbangkan angin kencang.

Penduduk yang dikenali sebagai Pak Man, 61, berkata, kejadian berlaku ketika dia baru sahaja selesai bersarapan sekitar jam 10 pagi.

"Hujan berlaku sejak awal pagi dan masa kejadian, saya dan anak beranak saya baru sahaja selesai bersarapan.

"Kemudian terdengar desiran angin yang kuat di atas bumbung rumah kami dan ia terus menerbangkan bumbung rumah kami dengan pantas," katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Mohd Izaimi Md Daud berkata, pihaknya menerima laporan sekitar jam 10 pagi, beberapa kejadian pokok tumbang berlaku terutama di sekitar Kangar.

"Kelajuan angin yang dicatatkan ialah 20 kilometer sejam (km/j) dan dalam kejadian itu terdapat beberapa kejadian pokok tumbang diterima oleh APM Perlis dan kita segera menggerakkan pasukan untuk operasi pembersihan.

"Sehingga jam 3 petang, terdapat 15 lokasi kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Kangar dan antaranya adalah di Jalan Sungai Batu Pahat, Kampung Nesam, Jalan Bintong, Kurong Batang, Jalan Dato Ali, Kampung Bohor Gonchar, Jalan Raja Syed Saffi, Kampung Jarak, Jalan Tebing Tinggi.

"Selain itu, kawasan lain yang dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang adalah Jalan Abi-Padang Melangit, Jalan Santan-Kampung Baru, Jalan Besar, Kampung Jarak, Jalan Mata Ayer, Bukit Keteri, Kampung Hutan Gunung, Jejawi, Jalan Padang Besar-Kangar, Jalan Abi Tok Hashim, Jalan Tasik Melati

dan Jln Kilang Simen, Bukit Keteri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan sehingga kini serta tiada kejadian banjir dilaporkan.

Selain APM, agensi lain yang turut terbabit dalam kerja pemantauan bencana di Perlis adalah polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis serta penduduk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 4:38 PM