ANGGOTA APM Padang Terap melihat kerosakan pada bumbung rumah penduduk di Kampung Sungai Durian yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Padang Terap melihat kerosakan pada bumbung rumah penduduk di Kampung Sungai Durian yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


BAYI perempuan yang sedang tidur dalam buaian terselamat selepas bumbung rumahnya di Kampung Sungai Durian, Pokok Sena di Alor Setar, diterbangkan ribut, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, angin kencang disertai hujan lebat itu itu dikatakan mencabut bumbung rumah berkenaan menyebabkan alang kayu rumahnya tercabut, namun bayi itu sempat diselamatkan ahli keluarganya.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, kejadian ribut itu turut menyebabkan beberapa pokok di Kampung Sungai Durian tumbang dan menghalang laluan jalan di kampung berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan 4.56 petang dan bergegas ke lokasi bersama tiga anggota yang diketuai Leftenan Muda (PA) Nurul Nadya Yahya untuk memberi bantuan.

“Anggota kami mengambil masa satu jam untuk memotong pokok yang tumbang dan membersihkan kawasan itu.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shukri turut menasihatkan penduduk kampung di sekitar daerah Pokok Sena dan Padang Terap supaya berhati-hati ketika perubahan cuaca ini kerana hujan lebat berlaku pada waktu petang yang disertai angin kencang yang mengakibatkan ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 8:46 AM