SEBAHAGIAN jemaah haji yang terkandas di KLIA. FOTO Ihsan FB Rizal Ismara Ismail.
SEBAHAGIAN jemaah haji yang terkandas di KLIA. FOTO Ihsan FB Rizal Ismara Ismail.
Saadiah Ismail


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membuat siasatan sewajarnya ke atas agensi pelancongan yang didakwa terbabit dalam kes penipuan bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, agensi itu akan disiasat di bawah Seksyen 8(1)(d), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu, sekiranya didapati bersalah, agensi itu boleh digantung atau dibatalkan lesen yang diberikan.

"Pasukan penguatkuasaan MOTAC juga sudah memantau dan menemubual wakil agensi di KLIA semalam dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang akan dikembalikan secara berperingkat dan pasport dipulangkan.

"Di samping itu, sekiranya mangsa dalam kes itu tidak mendapat kembali wang seperti yang dijanjikan, mereka dinasihatkan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis yang berdekatan," menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, berdasarkan semakan kementerian, agensi pelancongan itu adalah berlesen dengan MOTAC.

"Justeru orang awam dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada kementerian atau agensi berkenaan dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan.

"Ini demi memastikan hak pembeli terpelihara dan mengelakkan kes penipuan," katanya.

Bagi bakal jemaah yang terbabit, mereka diminta untuk membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home bagi pemulangan wang.

Dokumen yang perlu disertakan dalam SISPAA MOTAC adalah seperti bukti tempahan pakej, bukti pembayaran deposit, bukti pembayaran penuh, salinan pasport atau visa, salinan tiket penerbangan (jika ada), laporan polis dan apa-apa dokumen yang dianggap boleh membantu siasatan di peringkat kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 5:30 PM