ANTARA dadah yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
ANTARA dadah yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM154,000 dalam dua serbuan berasingan di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sindiket berkenaan didalangi warga tempatan dan warga asing yang ditahan selepas polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur melancarkan Ops Acacia.

"Dalam serbuan pertama di kondominium di Taman Desa, polis menahan lelaki warga tempatan berusia 18 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 43 tahun di kediaman terbabit.

"Serbuan berjaya menemui dadah jenis heroin seberat 3.6 kilogram (kg) dan pil eramin 5 sebanyak 5,020 biji," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan tangkapan suspek, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun di tempat letak kereta di Jalan Imbi.

"Tangkapan terhadap suspek berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 1 kg yang diletakkan di dalam kereta.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan positif dadah jenis methephatemine," katanya.

Azmi berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM154,000 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan adalah berjumlah RM375,000.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan lalu dan menjadikan kondominium yang dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan.

"Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:47 PM