MOHD Azlee (dua kiri) menunjukkan ganja yang dirampas polis. FOTO Asmah Rusman
MOHD Azlee (dua kiri) menunjukkan ganja yang dirampas polis. FOTO Asmah Rusman
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki bersama dua isterinya yang juga pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan merampas dadah jenis ganja bernilai RM6,000 dalam dua serbuan di Jalan Puchong, dan Taman OUG Sri Petaling di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Mohd Azlee Abdullah berkata, dalam serbuan pertama jam 7.30 petang Isnin lalu di kondominium di Jalan Puchong, polis menahan wanita berusia 21 tahun dan merampas tiga kilogram ganja.

Susulan tangkapan itu, polis melakukan tangkapan seorang lelaki berusia 39 tahun bersama seorang wanita berusia 21 tahun di tempat letak kereta di Taman OUG pada 12.30 malam bersama dadah, wang tunai dan dokumen peribadi.

"Hasil soal siasat mendapati kedua-dua wanita itu adalah isteri suspek yang juga dalang sindiket pengedaran dadah di beberapa IPTS di Lembah Klang dan Petaling Jaya, " katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, hari ini.

Menurutnya, semua rampasan bernilai RM10,000 dan ketiga-tiga suspek direman hingga 17 Februari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 12:52 PM