GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan tiada petugas Unit Tindakhas (UTK) PDRM yang terbabit dalam kejadian tiga pengamal media dikasari oleh individu ketika sebuah majlis di Tanah Merah, Kelantan semalam.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana petugas keselamatan semasa menjalankan penugasan di majlis itu.

"PDRM sentiasa menghargai pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar luas informasi kepada masyarakat khususnya bagi membantu memerangi jenayah.

"Hubungan erat pengamal media dan PDRM selama ini akan dikekalkan supaya masyarakat mendapat maklumat yang tepat melalui sumber yang sahih," katanya.

Terdahulu Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam kejadian didakwa kekasaran terhadap tiga orang petugas media dipercayai membabitkan anggota pasukan keselamatan dalam majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan.

Dalam satu kenyataan, gerakan itu berkata, seorang wartawan lelaki mendakwa 'ditampar' di bahagian perut, manakala seorang lagi wartawan wanita mendakwa 'dicengkam leher' ketika berada di bawah pentas utama yang membariskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dua pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 8:50 PM