Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Padang Rengas: Jenazah lima beranak yang maut dalam nahas di KM36, Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan, Pahang petang semalam, selamat disemadikan malam ini.

Kelima-lima mereka iaitu Muhammad Rosli Ibrahim, 33, isterinya, Nor Afikah Abdullah Sani, 35; serta ketiga-tiga anak mereka iaitu Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7, Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6 dan bayi lelaki mereka berusia setahun, Muhammad Rizqi Muhammad Rosli disemadikan dalam satu liang di Perkuburan Islam Kampung Labu Kubong, di sini kira-kira 10 malam.

Terdahulu kesemua jenazah yang dibawa menaiki tiga van jenazah berlepas dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kira-kira jam 2.15 petang dan tiba di perkarangan rumah kampung halaman Muhammad Rosli jam 8.24 malam.

Semua jenazah disembahyangkan pada 8.30 malam oleh kira-kira 150 jemaah dan waris terdekat diberi peluang melihat mereka sebelum dibawa ke kawasan perkuburan.

Perasaan hiba turut menyelubungi suasana perkarangan rumah ibu kepada Muhammad Rosli iaitu Rokiah Md Noh, 70, yang dikunjungi keluarga dan rakan.

Lima beranak itu dilaporkan maut selepas kereta jenis Toyota yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam nahas kira-kira jam 3.40 petang semalam ketika dalam perjalanan dari arah Muadzam menghala Kuantan.

Jenazah lima beranak disemadikan dalam satu liang di Perkuburan Islam Labu Kubong, Kampung Labu Kubong, di sini malam ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Jenazah lima beranak disemadikan dalam satu liang di Perkuburan Islam Labu Kubong, Kampung Labu Kubong, di sini malam ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Berita berkaitan:

  • Arwah niat buat pendawaian di rumah ibu
  • Pungut hasil tanah di Kuantan - Abang [METROTV]
  • Nahas 5 beranak: Arwah ajak emak ikut sekali
  • Adik baru beli kereta - Mohd Yusof
  • Lima beranak termasuk bayi maut kemalangan dengan treler
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 10:44 PM