JENAZAH tiga sekeluarga yang terbabit dalam kemalangan di LPT dekat Temerloh, dikebumikan dalam satu tiang lahad. FOTO Ihsan Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih
JENAZAH tiga sekeluarga yang terbabit dalam kemalangan di LPT dekat Temerloh, dikebumikan dalam satu tiang lahad. FOTO Ihsan Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jenazah tiga sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh, Pahang, semalam, selamat dikebumikan di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira 3 pagi itu, empat individu dilaporkan maut dengan tiga mangsa berkenaan iaitu Mohmed@Mohamed Shamsuddin, 75; Kamariah Hamzah, 72; dan seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Daniel Danish Mohd Ali, 12, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

Anak kepada pasangan yang maut dalam kemalangan itu, Azreelina Mohmed@Mohamed, 44, berkata, jenazah ayah, ibu dan anak saudaranya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gates, di sini, kira-kira 12 tengah malam tadi.

"Kami sekeluarga kini dalam perjalanan ke Hospital Temerloh untuk melihat keadaan ahli keluarga lain yang sedang menerima rawatan di sana," katanya.

Azreelina berkata, mereka yang masih dirawat di hospital adalah adiknya, Azreelinawati, 42, adik iparnya, Amirul Shafiq, 30-an, serta lima anak saudaranya berusia dua tahun hingga tujuh tahun.

"Adik (Azreelinawati) kini berada dalam keadaan koma dan ditidurkan akibat tulang rusuk kanan patah, malah seorang anak saudara yang berusia empat tahun juga sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Adik ipar pula (Amirul Shafiq) sedang menjalani pembedahan akibat tulang selangkanya patah. Dua anak saudara yang juga kembar tiga berusia dua tahun terpaksa dipindahkan ke Hospital Kuantan untuk rawatan lanjut.

"Anak saudara berusia tujuh tahun sedang menerima rawatan di hospital sama. Seorang lagi adik, Azreeledia, 30-an, yang juga isteri kepada Amirul Shafiq pula hanya mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azreelina berkata, ketika kejadian, terdapat 11 ahli keluarganya menaiki MPV berkenaan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu untuk bercuti.

"Mereka ada ajak saya untuk menyertai percutian itu, namun saya tidak dapat ikut serta kerana ada tugasan kerja. Sebelum ini, mereka jarang bercuti, namun kebelakangan ini mereka kerap bercuti termasuk ke Negeri Sembilan.

"Saya dimaklumkan oleh ibu saudara mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.30 pagi ketika berada di rumah di Ampang. Sebaik mendengar perkhabaran itu, saya terus menangis," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 2:03 PM